Mohamed Hassan Kamil
SHAH ALAM - Buat pertama kali, Takaful Malaysia Berhad mencatat pertumbuhan tahunan terbaik dengan keuntungan melebihi RM100 juta sejak penubuhannya pada 1984.
Dalam satu kenyataannya hari ini, syarikat takaful itu berkata, bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011, pendapatan kendalian kumpulan itu meningkat 17 peratus kepada RM1.4 bilion, di mana keuntungan sebelum cukai dan zakat adalah RM101.4 juta berbanding RM65.3 juta untuk tahun kewangan 12 bulan yang berakhir Disember 2010 dengan pertumbuhan 55 peratus.
Pengarah Urusan Kumpulan Takaful Malaysia, Datuk Mohamed Hassan Kamil berkata, “pulangan ke atas ekuiti syarikat terus meningkat dan berada pada aras 19 peratus berbanding 10.2 peratus tahun lalu dan perolehan sesaham (EPS) meningkat kepada 48.5 sen berbanding 23.1 sen untuk tempoh tahunan 12 bulan berakhir Disember 2010.
Menurutnya, dalam tempoh 12 bulan, saiz aset juga meningkat 20 peratus kepada RM5.9 bilion daripada RM4.9 bilion.
Beliau berkata, subsidiari-subsidiari di Indonesia juga mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan selepas penukaran pengurusan pada 2011.
"Untuk jangka masa panjang, kami percaya syarikat berpotensi untuk terus berkembang pesat dan mempelopori pasaran Islam yang besar di Indonesia," katanya.
Tambah beliau, di Malaysia, perniagaan bankatakaful dan faedah pekerja berkumpulan telah mencapai pertumbuhan besar melebihi 75 peratus tahun lalu.
"Kejayaan itu dapat dicapai atas sokongan kuat yang diterima daripada pelanggan korporat, rakan kongsi bank, pelanggan setia sebagai inisiatif untuk memperbaiki sistem serta keberkesanan pengendalian bagi memberi layanan yang lebih baik kepada pelanggan," katanya.